Ahad, Disember 27, 2009

Rai Hari Natal..BOLEH atau TIDAK??

Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani...

Assalamualaikum warahmatullah..





ALHAMDULILLAH syukur kerana ALLAH masih memberi peluang untuk terus menikmati nikmat-nikmatNya yang infiniti banyaknya..





Sepertimana yang kita maklumi, 25 Disember telah diadakan perayaan Hari Natal di seluruh Malaysia. Perayaan ini telah disambut dengan penuh meriah oleh semua rakyat Malaysia. Hampir kesemua pusat beli-belah menawarkan diskaun sempena Hari Natal dan jelasnya semua tempat dihiasi dengan hiasan sempena perayaan ini. Di sepanjang jalan raya pula dihiasi dengan lampu yang pelbagai warna, banner dibentang dengan pelbagai saiz menunjukkan kemeriahannya dan salah satu aktiviti yang mesti dilakukan jika tidak pasti rasa kekurangan dan ketidakmeriahan Hari Natal iaitu rumah terbuka. Amalan ini sangat popular di Malaysia kerana kononnya mencapai misi 1 Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri kita.


Namun persoalannya adakah kita sebagai muslim dibolehkan merayakan perayaan ini?Semalam selepas mendapat mesej daripada seorang sahabat yang menanyakan mengapa kita HARAM merayakan Krismas telah menggerakkan hati untuk mencari dalil yang sah untuk meyakinkan sahabat saya itu. Sebabnya sudah lama saya menyedari HARAM kita merayakannya namun tidak ada bukti dan penerangan yang cukup untuk meyakinkan sahabat-sahabat lain.


Hari ini sambil membelek-belek Harakah ayah dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kajang tiba-tiba terbaca ' HARAM MERAYAKAN NATAL DAN TAHUN BARU'. Secara ringkasnya kita perlu tahu yang pertama, perayaan ini diadakan untuk memperingati hari kelahiran Tuhan Jesus yang dianuti oleh penganut Kristian.


Kedua, perayaan yang diadakan adalah sebahagian syiar (ibadah) agama Kristian. Ikut serta di dalamnya bermakna ikut merayakan ajaran/ibadah agama lain selain agama ISLAM. Berseronok dan bergembira dengan perayaan ini bermakna bergembira dengan ajaran yang jelas KUFUR kepada ALLAH.Nauzubillah! Moga kita tidak tergolong dalam golongan tersebut.


Mungkin ramai yang masih belum sedar bahayanya pada akidah dan iman kita. Analogi yang boleh kita sama-sama fikirkan, kita sebagai muslim menghidupkan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan sebagainya dengan beribadah kepada ALLAH, mengeratkan silaturrahim dan pelbagai ibadah bertujuan taqarrub kepada ALLAH. Jadi ajaran lain juga mengamalkan konsep yang sama iaitu merayakan perayaan mereka dengan ibadah-ibadah yang mengagungkan tuhan mereka yang jelas kesesatannya. Sudah terang lagi bersuluh mengapa dikatakan HARAM meraikan perayaan agama lain kerana diumpamakan kita mengagung-agungkan tuhan mereka.Nauzubillah!! Baginda sudah mengingatkan kita bahawa "siapa yang menyerupai suatu kaum maka dia adalah sebahagian daripada mereka."




Begitu juga dengan perayaan agama lain seperti Hindu dan Buddha. Walaupun sekarang kita sibuk memperkatakan konsep 1 Malaysia, namun soal akidah perlu dititkberatkan oleh semua umat islam. Ramai berpendapat tidak salah meraikan perayaan ini untuk membuktikan perpaduan pelbagai agama dan bangsa di Malaysia namun sekali lagi ditegaskan untuk mencapai perpaduan sekalipun kita tidak boleh memandang remeh dan mengorbankan akidah yang kita imani serta menjatuhkan maruah agama ISLAM. Hal ini telah diingatkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabda Baginda "Sesungguhnya ISLAM adalah (agama) tertinggi dan tiada (agama) yang tinggi melainkannya."

Akhir kalam, kita yang mengaku umat islam WAJIB menjauhinya dan memperingatkan saudara seakidah kita agar tidak terlibat dengan perayaan ini dan semua perayaan agama lain. Firman ALLAH bahawa "Sesungguhnya agama di sisi ALLAH adalah ISLAM"


Wallahu'alam...
p/s:Hari ni 10 Muharam.. : )

2 ulasan: